Membina Gayahidup Cemerlang

Bila impian dalam genggaman itulah kejayaan

Emosi mendorong tindakan kita

Secara primitifnya setiap haiwan akan bertindak berdasarkan emosinya. Perasaan takut dan terancam menjadikannya bersifat mempertahankan diri dengan melarikan diri atau menyerang. Kita biasa melihat reaksi ular tedung yang terancam reaksi monyet, anjing, kucing dan itik angsa apabila mereka takut atau lapar. Lihatlah bagaimana sikap haiwan-haiwan ini ketika mereka takut khususnya jika mereka beranak kecil yang perlu dipertahankan dan ketika mereka mahukan makanan. Bagaimanakah keadaan agresifnya mereka.

Inilah dikatakan minda primitif yang secara fitrah tersedia di dalam makhluk yang bernama haiwan termasuk manusia. Emosi dan perasaan yang tersedia di dalam diri kita akan menguasai seluruh keputusan dan tindakan kita. Bezanya manusia mempunyai akal fikiran yang boleh mengawal emosi ini dengan mengubah kepercayaan asal kepada kepercayaan baru sekaligus meredakan dorongan emosi dan menjadikan tindakan lebih rasional.

Asalnya manusia tidak takut kepada hantu. Apabila sejak zaman kanak-kanak lagi kita selalu disogokkan dengan cerita-cerita hantu maka wujud satu kepercayaan dalam diri bahawa hantu adalah makhluk yang ganas, bahaya dan menakutkan. Kita juga sentiasa dikaitkan hantu dengan rumah kosong, hutan, tanah perkuburan dan gelap malam. Apabila kita melalui tempat-tempat seumpama ini perasaan takut akan menguasai minda dan tindakan kita. Perasaan takut kepada hantu akan menguasai tindakan kita.

Kebanyakan barang-barang pengguna seperti sabun, ubat gigi, kopi, teh dan sebagainya tidak ada banyak perbezaannya. Begitu juga burger yang dibuat dan dijual oleh peniaga pasar malam dan MC Donald. Namun walaupun burger MC Donald lebih mahal masyarakat tetap memilihnya. Bukan kerana rasa burgernya sahaja tetapi persembahannya, layanan pekerjanya, persekitarannya dan iklan yang bertubi-tubi telah menimbulkan perasaan suka seronok dikalangan masyarakat untuk menikmatinya.

Oleh itu dorongan pembuat keputusan dalam diri manusia 80% adalah disebabkan perasaan seronok dan takutnya bukan rasionalnya. Hakikat ini bukan sesuatu yang pelik dan ia adalah fitrah manusia yang tidak dapat dielakkan. Sebab itu Allah sentiasa menceritakan mengenai nikmat syurga supaya timbul perasaan di dalam diri manusia kemahuan yang kuat untuk mendapatkan syurga dan begitu juga al-Quran sentiasa menggambarkan keadaan neraka supaya manusia merasa takut untuk dihukum dengan dimasukkan kedalam neraka.

Dalam hidup kita, kadang-kadang kita amat mahu mencapai sesutu kejayaan dalam apa yang kita lakukan tetapi kita sering menanggguhkan tindakan yang telah kita rancangkan. Kenapa?

Sebabnya walaupun kita merasai kejayaan itu sesutu yang amat menyeronokkan tetapi laluan kepadanya dianggap oleh perasaan kita sebagai sesutu yang menyakitkan maka ia menjadi penghalang kepada tindakan kita. Kita akan berjaya apabila kita menukarkan dalam minda kita semua perancangan, tindakan, aktiviti yang dirancang adalah menyeronokkan barulah kejayaan akan datang.

Perjalanan yang jauh akan memenatkan jika kita hanya menyangka keseronokan adalah dipenghujung jalan tetapi jika kita menganggap semua yang kita lakukan disepanjang perjalanan adalah pengalaman yang menyeronokkan kita tidak akan merasai kepenatan. Inilah kelebihan manusia. Kita boleh mengawal emosi kita dengan mengubah sesuatu yang negatif menjadi positif dan jika ini adalah tabiat hidup kita tidak ada apapun dalam hidup yang akan menjadikan kita sedih.

Nabi bersabda : ” Sungguh menakjubkan urusan hidup orang yang beriman, semua keadaan hidupnya adalah kebaikan. jika dia ditimpa kebaikan dia bersyukur maka ia adalah kebaikan untuknya dan jika dia ditimpa keburukan dia bersabar dan itu adalh kebaikan untuknya”.

Oleh itu kita perlu mengawal emosi kita dengan menukarkan pandangan minda kita kepada pandangan yang positif. Setiap perkara ada kebaikan dan keburukan tetapi jika kita melihat kebaikannya kita akan dapat menerima dan bersabar dengan keburukannya terutamanya apabila kebaikannya mengatasi keburukan.

November 14, 2007 Posted by renungan2u | Emosi | | No Comments Yet

Niat dalam perspektif sebenar

Sepotong hadis nabi s.a.w. yang amat masyhur dan diriwayatkan oleh Umar al-Khattab bermaksud: ” Sesungguhnya sesuatu amal itu dengan niat. Sesungguhnya setiap orang akan mendapat apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana mendapat keredaan Allah dan rasulnya maka dia akan mendapat Allah dan rasulnya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia atau wanita yang ingin dikahwininya makan dia akan mendapat apa yang diniatkannyn itu”.

Dalam hadis yang lain maksudnya ” Sesungguhnya Allah sentiasa bersama baik sangkaan hambaNya”.

Firman Allah bermaksud: ” Berdoalah kamu kepadaku, nescaya akan ku perkenankan permintaan kamu”.

Niat juga disebut sebagai qasad atau maksud tujuan. Dalam istilah  perancangan disebut sebagai objektif atau goal. Hadis ini menegaskan bahwa sesuatu amalan itu menjadi sah di sisi Syarak ialah dengan sahnya niat. Sesuatu amalan itu diterima sebagai pengabdian kepada Allah juga dengan niat dan satu perspektif lain ialah sesutu kerja itu akan berjaya mencapai kejayaan bergantung kepada niat.

Oleh itu hadis niat ini menjelaskan 3 perspektif penting:

1. Sah atau tidak amal ibadah bergantung kepada niat dan betul dengan cara yang disyariatkan.

2. Sesuatu amal ibadah tidak akan mendapat ganjaran jika tidak ikhlas kepada Allah

3. Sesuatu amal, kerja dan usaha akan gagal jika tidak jelas maksud tujuannya.

Niat adalah amalan hati, minda, emosi dan anggota badan secara serentak. Angota badan akan bergerak melakukan apa yang ia mahu atau menjauhi apa yang ia takut. Gerakan ini bermula dengan satu keputusan yang diputuskan oleh hati. Keputusan ini berpunca daripada wujudnya kemahuan yang kuat dalam diri. Kemahuan yang kuat dicetuskan oleh rasa seronok atau takut. Keseronokan dan ketakutan adalah emosi yang lahir daripada gambaran yang terdapat di dalam minda. Gambaran dalam minda boleh diciptakan oleh kita sendiri atau terkesan dengan gambar yang wujud di luar kehidupan kita.

Objektif hidup yang jelas disebut juga impian yang jelas. Ia adalah satu gambar masa hadapan yang kita inginkan berlaku dalam diri kita. Kita tidak akan berjaya membuat kek buah yang sedap kalau kita tidak berniat untuk membuatnya. Walaupun kita berazam hendak membuat kek buah yang sedap kita tidak akan berjaya jika kita tidak mampu membayangkan rupanya, aromanya, rasanya, kelembutannya dan mendengar bagaimana orang memuji keenakkannya. Walaupun kita sudah dapat membayangkan matlamat kita ini, kita juga tidak akan berjaya jika kita tidak tahu apakah cara membuatnya, bagaimanakah adunannya, dan langkah-langkahnya satu persatu. Sekiranya anda telah berjaya membuatnya sebiji kek buah, melalui tunjuk ajar seorang pakar dan anda telah merasai keenakan masakan anda tersebut sudah pasti anda mampu mengulanginya.

Gambaran obejktif yang jelas untuk membuat kek buah adalah satu contoh bagaimana minda kita berperanan.

Kejayaan hidup ialah kejayaan mencapai impian hidup yang telah digambarkan dengan sejelas-jelasnya di dalam minda. Apa yang kita lihat wujud di dunia ini asalnya adalah impian orang yang mewujudkannya. KLCC, Purajaya, KLIA, banglo mewah di Bukit Antarabangsa, Bukit Damansara, Country Hight dan sebagainya adalah bermula daripada sebuah impian yang jelas, kemahuan yang membakar dan usaha tindakan yang tidak pernah mengaku kalah kepada cabaran kehidupan yang menghalang.

Bayangkanlah, impikanlah apa sahaja yang anda mahu, ia adalah percuma dan Allah akan kurniakan segala sangkabaik anda kepadaNya. Cuma awas sekiranya impian itu menjadi sesutu yang yang menyakitkan, anda tidak akan berjaya mencapainya kerana kesakitan dalam minda adalah satu halangan.

November 5, 2007 Posted by renungan2u | Minda | | No Comments Yet